KUCHING: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan penglibatan pihak untuk melabur dan meneroka rizab minyak dan gas di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu pernah didedahkan kepada pengurusan atasan syarikat Shell bahawa secara geologinya, Sarawak masih mempunyai rizab minyak dan gas, malah berkemungkinan hingga ke kawasan barat di negeri ini.
Namun, katanya ia bergantung penerokaan dan kebolehlaksanaan ekonomi.
“Ia sangat bergantung kepada teknologi yang ada. Kalau teknologinya ada, bermakna gas itu boleh dipakai sebagai sumber gas yang lain,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Shell Malaysia 2024 di Hilton Hotel, Kuching hari ini.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Beliau dalam pada itu memuji peranan dimainkan pihak Shell dalam memajukan industri minyak dan gas di Sarawak sambil berkata syarikat tersebut semakin berkembang di sini.
Katanya, dengan ibu pejabat Shell telah berpindah ke Miri ia secara tidak langsung menjadikan bandar peranginan itu kembali seperti sebelumnya aktif dalam industri minyak dan gas.